Terma penggunaan
Dikemas kini: November 2026
1. Tentang Gerai Lokal
Gerai Lokal ialah direktori kecil untuk perniagaan komuniti, dikendalikan oleh FIKZ STUDIO. Kami hanya memaparkan gerai dan menyambungkan pembeli kepada penjual melalui WhatsApp. Kami bukan pihak dalam jual beli, tidak mengendalikan bayaran, penghantaran atau pemulangan, dan tidak menjamin mutu mana-mana barang atau servis.
2. Penjual
- Anda mesti berumur 18 tahun ke atas dan memberi maklumat yang benar.
- Nombor WhatsApp yang diberi mestilah milik anda atau anda dibenarkan menggunakannya.
- Anda bertanggungjawab sepenuhnya ke atas harga, kandungan, gambar, serta urusan dengan pembeli.
- Gambar yang dimuat naik mestilah milik anda atau anda ada kebenaran untuk menggunakannya.
- Pautan pengurusan gerai anda ialah kunci. Sesiapa yang memilikinya boleh mengubah gerai anda. Simpan dengan selamat dan jangan kongsi.
3. Kandungan dan kategori terlarang
Gerai berikut tidak dibenarkan dan akan ditolak atau dibuang tanpa notis:
- Judi, loteri, pinjaman haram (along), skim cepat kaya atau piramid.
- Dadah, bahan terkawal, senjata, bahan letupan.
- Arak, rokok dan produk tembakau, serta produk yang melanggar undang-undang Malaysia.
- Kandungan lucah, eksploitasi, ugutan, penipuan atau yang menyentuh isu sensitif kaum, agama dan diraja (3R).
- Ubat, suplemen dan produk kesihatan atau kecantikan yang tidak berdaftar (contohnya tanpa nombor pendaftaran KKM) atau yang mendakwa menyembuhkan penyakit.
- Barang tiruan, curi atau yang melanggar hak cipta dan jenama dagangan.
- Perkhidmatan atau barang lain yang bercanggah dengan undang-undang Malaysia.
4. Semakan dan penyingkiran
Setiap gerai baharu menunggu semakan sebelum dipaparkan. Kami dan pentadbir komuniti boleh menolak, menggantung atau memadam mana-mana gerai pada bila-bila masa, termasuk jika ada aduan. Semakan kami bersifat asas dan tidak bermakna kami mengesahkan penjual atau barangannya.
5. Pembeli
Berhati-hati semasa berurusan. Jangan hantar wang awal kepada orang yang tidak dikenali tanpa memastikan kesahihannya. Selesaikan sebarang pertikaian terus dengan penjual.
6. Had tanggungan
Laman ini disediakan "seadanya" tanpa jaminan. Setakat yang dibenarkan undang-undang, Gerai Lokal tidak bertanggungjawab ke atas kerugian yang timbul daripada urusan antara pembeli dan penjual atau gangguan perkhidmatan.
7. Aduan
Emel [email protected] dengan pautan gerai yang berkenaan. Kami akan menyemak secepat mungkin.
8. Perubahan
Terma ini boleh dikemas kini. Penggunaan berterusan bermaksud anda menerima terma terkini.